Misi Mat Dan

Terbaharu di TV9, bersama Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Mat Dan bakal mengendalikan program dokumentari travelogue terbaharu ‘Misi Mat Dan’ yang akan membawa penonton mengembara dan meneroka khazanah alam yang menarik di dalam Malaysia.

Program dokumentari travelogue bersiri 6 episod ini bakal bersiaran bermula pada 3 Julai 2023, setiap hari Isnin, pukul 10.00 malam dan strim secara HD melalui www.tonton.com.my. Mat Dan mempunyai enam misi yang akan membawa penonton meninjau ancaman semula jadi yang berlaku di negara kita. Pengacara dan penyampai radio, Molek FM itu juga bakal berinteraksi dengan penduduk tempatan untuk meneroka peranan mereka dalam membentuk negara ke arah yang lebih baik.

Mat Dan merupakan seorang pengembara berwarganegara England yang telah menetap di Malaysia semenjak 2009. Beliau semakin dikenali ramai kerana kemahirannya yang fasih bertutur bahasa Melayu dalam dialek Terengganu. Sejak tiba di Malaysia, Mat Dan telah jatuh cinta dengan keunikan adat budaya dan alam semula jadi yang ditawarkan oleh negara ini sehingga mendapat status sebagai penduduk tetap ketika di Terengganu pada tahun 2018.

Misi Mat Dan meletakkan fokus dalam mencari jalan penyelesaian bagi menjaga dan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan keindahan flora dan fauna yang mampu untuk menarik ramai pelancong dari luar dan dalam negara.

Misi pertama Mat Dan telah melawat ke Taman Negara, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai Perak untuk membincangkan tentang pemburuan haram yang menyebabkan populasi Harimau Malaya hampir pupus, gajah kehilangan keupayaan untuk meneruskan hidup di hutan kerana perangkap yang telah mengakibatkan kecederaan serius dan pelbagai masalah yang telah mengganggu kestabilan ekosistem alam akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab ini.

Ikuti juga salah satu misi Mat Dan di Pulau Redang, Terengganu yang meninjau keadaan tempat peranginan popular yang berhadapan dengan masalah pencemaran sampah sarap yang menjejaskan perairan dan pantai serta kehidupan akuatik. Ia juga akan menjejaskan sumber pendapatan masyarakat tempatan yang bergantung kepada sumber laut sebagai hasil pendapatan.

Pengalaman seperti ini merupakan satu pendekatan kepada generasi sekarang bagi membolehkan mereka lebih memahami tentang kepentingan laut, sungai dan hutan yang merupakan habitat kepada hidupan liar. Ini membolehkan mereka memelihara hidupannya untuk generasi akan datang dan menghargai alam sekitar agar ia tidak pupus atau hilang ditelan arus kemodenan.

Misi Mat Dan merupakan terbitan M1 Pictures yang diketuai oleh William Grimaldi sebagai Penerbit. Jadi, jangan ketinggalan untuk meneroka impian dan realiti alam bersama Misi Mat Dan menerusi TV9 yang akan mula bersiaran pada 3 Julai 2023, setiap hari Isnin, pukul 10.00 malam dan strim secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Misi Mat Dan
Tarikh Tayangan: 3 Julai 2023
Waktu Siaran: Isnin, 10.00 malam
Rangkaian: TV9 / tonton
Produksi: M1 Pictures

Comments are closed.